Tun Dr Mahathir Mohamed berkata Malaysia “tidak begitu cekap” menguruskan ketegangan dengan Korea Utara kerana perkara itu tidak pernah berlaku.

“Ini satu peristiwa yang tidak pernah Malaysia alami sebab itu kita tidak begitu ‘cekap’ untuk menanganinya sehingga timbul ketegangan antara kita dengan Korea Utara.

“Saya fikir ini jadi satu pengajaran, kepada kita, sebagai iktibar untuk kita tangani masalah ini pada masa depan,” kata Mahathir dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara kini di tahap paling tegang sejak kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 1973.

Ia susulan kematian Kim Jong-mam, abang pemimpin Korea Utara, Jong-un. Korea Selatan dan Amerika Syarikat mendakwa Korea Utara mendalangi pembunuhan itu tetapi ia ditepis Pyongyang.

Pertelingkahan itu sampai ke tahap baharu menyamai situasi tebusan, apabila 11 rakyat Malaysia di Korea Selatan disekat daripada keluar dari republik itu.

Tak perlu jadikan Korea Utara musuh

Sementara itu, Mahathir hari ini berkata Malaysia tidak perlu jadikan Korea Utara sebagai musuh.

“Kita tidak perlu jadikan krisis ini satu peristiwa yang menjadikan Korea Utara ini sebagai musuh kepada kita.

“Namun demikian terdapat banyak misteri dalam kes ini, siapa yang berniat untuk membunuh, apakah dihasil daripadanya dan macam mana boleh berlaku?

“Kerana negara kita ini dipenuhi dengan ramai orang asing dan mereka bawa perkara yang tidak baik kepada kita.

“Sebab itu sementara kita perlu berterus terang, tetapi kita mesti tentukan fakta itu betul apabila kita buat sesuatu kenyataan.

Mahathir menegaskan Malaysia terus bersikap berkecuali dalam dasar luar.

“Dasar dahulu, adalah kita berkecuali dan tidak terikat diri kita dengan mana-mana. Kita bersahabat dengan semua negara tanpa mengambil kira dasar atau ideologi mereka.

“Sekarang ini ada perbezaan dasar sedikit, kita sudah mendekatkan diri kita dengan satu dengan negara lain. Ini kurangkan kebebasan kita.

“Adalah lebih baik, kita pilih dasar berkecuali kerana beri banyak manfaat kepada kita,” katanya.

-MalaysiaKini