KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan tunduk terhadap sebarang resolusi untuk menghalalkan penggunaan dadah jika diluluskan mana-mana badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang usaha untuk menghalalkan penggunaan dadah dilihat sebagai di luar norma kemanusiaan kerana penyalahgunaan bahan itu mengundang pelbagai masalah sosial dan jenayah.

“Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi walaupun ada resolusi yang dibuat badan-badan antarabangsa untuk menghalalkan penggunaan dadah membahaya.

“Kerajaan berpendirian bahawa selagi penagihan dadah tidak dihapuskan 100 peratus maka selagi itulah permasalahan sosial melalui penagihan dadah dan pelakuan jenayah disebabkan oleh penagihan dadah ini berlaku,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) ke-42 di sini, Ahad.

Katanya, bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, Malaysia lebih menggunakan pendekatan holistik dengan menumpukan kepada usaha pembanterasan aktiviti penyeludupan, pengedaran dan pengeluarannya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan turut menekankan kepada aspek pemulihan kepada penagih dadah selain penerapan unsur keagamaan ke dalam diri mereka.

Beberapa negara Eropah dan Amerika Selatan dilaporkan telah mengemukakan cadangan kepada PBB supaya mengeluarkan resolusi untuk membenarkan penggunaan dadah secara persendirian.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau turut menggesa agensi penguatkuasaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk bekerjasama mengenal pasti pendekatan yang lebih holistik bagi menangani aktiviti penghasilan dan pengedaran dadah seterusnya membasmi kes penyalahgunaan bahan itu.

Katanya, langkah itu berikutan perubahan dalam aktiviti jenayah itu yang kini telah beralih kepada penghasilan dan pengedaran dadah sintetik yang sukar dikesan dan lebih memudaratkan berbanding dadah konvensional seperti ganja, heroin dan morfin.

Dalam pada itu beliau turut mengakui bahawa usaha membasmi penyalahgunaan dadah sehingga kini masih tidak berjaya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan dan banyak peruntukkan telah dibelanjakan.

Menurut beliau, salah satu faktor menyebabkan kegagalan itu adalah kerana permasalahan itu diletakkan di bahu kerajaan semata-mata sedangkan usaha perlu dilakukan secara bersama oleh pelbagai pihak termasuk institusi keluarga dan masyarakat.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan tahunan sebanyak RM10 juta kepada Pemadam dan NGO (masing-masing RM5 juta) bagi menjalankan usaha-usaha mengurangkan gelaja penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, peruntukan itu akan disalurkan menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di bawah Kementerian Dalam Negeri sebelum diagihkan kepada NGO berkenaan mulai tahun hadapan.

“Semoga dengan peruntukkan RM10 juta ini akan dapat digunakan sepenuhnya dan saya mahu lihat penurunan 50 peratus kes penagihan dadah pada tahun hadapan,” katanya. – Bernama