AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi meningkatkan kerjasama pengurusan banjir yang berlaku di sempadan kedua-dua negara.

Pengarah Perlaksanaan Operasinya, Datuk Azizan Abu Taat berkata, kerjasama seperti latihan simulasi banjir antara pihak penyelamat Malaysia-Thailand dilakukan setiap tahun sebelum musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada November dan Disember.

“Latihan yang diadakan hari ini satu simulasi banjir melalui program kumpulan pengurusan bencana Malaysia-Thailand yang dikhususkan di sempadan dua negara terbabit.

“Perlaksanaan program ini mengikut prosedur operasi standard yang mana kita mahu mempertingkatkan lagi daripada segi gerakan bantuan serta aset-aset penyelamat antara dua pihak.

“Ia diharap mencapai satu tahap apabila berlakunya bencana banjir kita boleh bertindak dengan lebih cepat.

“Seperti contoh ia berlaku di sempadan pihak kita dan kita memerlukan bantuan dari sana, mereka dapat membantu dan begitu juga kita memberi bantuan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada program latihan mekanisma Malaysia-Thailand di Danau To’ Uban, Pasir Mas, hari ini.

Terdahulu, seramai 45 anggota serta wakil keselamatan Thailand diketuai Pengarah Pengurusan Bencana dan Mitigasi Wilayah Songkla, Leftenan Trakkul Thotham menyaksikan gimik operasi menyelamatkan mangsa.

Azizan berkata, pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan tempatan sudah memulakan latihan banjir dalam aspek pengurusan dan pengoperasian bencana bagi negeri ini.

“Semalam kita turut melakukan latihan banjir berpusat di daerah ini bagi memastikan kesiapsiagaan semua agensi tempatan untuk menghadapi situasi banjir yang dijangka pada November.

“Pada bulan depan, semua agensi terbabit perlu menghabiskan latihan berkenaan memandangkan kita sudah menghampiri musim Monsun Timur Laut,” katanya – hmetro