ASHTON GATE: Jaringan Korey Smith pada masa kecederaan cukup untuk bawa Bristol City melepasi juara bertahan Manchester United 2-1 di peringkat suku akhir Piala Carabao.

Ini merupakan kali pertama Bristol City mara ke peringkat separuh akhir piala tersebut sejak musim 1988-1989.

Walaupun tampil sebagai pasukan bukan pilihan dalam perlawanan ini, Bristol City mencatat kelebihan terlebih dahulu melalui gol Joe Bryan.

Walau bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan selama lapan minit selepas Zlatan Ibrahimovic menyamakan kedudukan melalui sepakan percuma.

Pengurus Red Devils, Jose Mourinho memanggil semula Paul Pogba untuk beraksi selepas terlepas tiga perlawanan akibat kad merah yang diterimanya ketika menentang Arsenal.

United banyak mencipta peluang ketika perlawanan tetapi buntu dalam pencarian gol.

Kebuntuan tersebut membawa padah apabila Bristol City melancarkan serangan bertali arus pada minit-minit akhir sebelum Smith menjaringkan gol kemenangan.

Manchester United merupakan kelab Liga Perdana Inggeris keempat yang ditundukkan Bristol City dalam kejohanan ini selepas Watford, Stoke dan Crystal Palace.

Mereka sertai Chelsea, Arsenal dan Manchester City di peringkat separuh akhir Piala Carabao.