MERU RAYA – ‘Mana pergi duit insurans kami?’ itulah persoalan yang bermain di fikiran lebih 6,000 peneroka di Felda Wilayah Trolak selepas mereka dimaklumkan bahawa caruman insuran ladang Felda yang ditolak daripada pendapatan mereka sejak 20 tahun lalu tidak wujud.

Pengerusi Suara Generasi Kedua Felda Selangor, Zainudin Ibrahim berkata, peneroka mengalami kerugian apabila ladang kelapa sawit diusahakan telah diserang ulat bungkus sejak beberapa bulan lalu hingga menjejaskan pendapatan peneroka Felda.

Menurutnya, satu taklimat mengenai serangan ulat itu dibuat bersama pegawai kanan Felda dan Ahli Lembaga Pengarah Felda di Wilayah Trolak bagi menangani masalah itu terutama di Ladang Sawit Felda Suharto, Felda Gedangsa dan Felda Tengi.
“Masalah kewangan adalah isu utama kenapa serangan itu tidak dapat dibendung dari awal dan telah merebak keseluruhan ladang. Peneroka mencadangkan agar caruman insurans ladang digunakan sebagai perbelanjaan untuk menghapuskan ulat bungkus.

“Bagaimanapun, jawapan yang kami terima sangat mengejutkan apabila dimaklumkan insurans berkenaan tidak wujud sebaliknya peneroka pula berhutang RM17 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili kira-kira 20 peneroka yang hadir untuk membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.

Zainudin berkata, warga peneroka rasa teraniaya apabila potongan insurans berkenaan telah dilaksanakan dalam penyata pendapatan sejak berpuluh tahun lalu.

“Dalam penyata pendapatan peneroka terdapat pemotongan insurans yang bertujuan untuk melindungi ladang kami. Jumlahnya antara RM6 hingga RM8 setiap bulan tetapi keahlian peneroka di negara ini lebih 100,000 orang.

“Saya pasti ia melibatkan jumlah kewangan yang besar. Sekian lama peneroka diyakinkan bahawa insurans inilah yang akan melindungi setiap perbelanjaan membaik pulih ladang dan sekarang ia dikatakan tidak wujud pula,” katanya.

Katanya, pihaknya mengesyaki berlakunya penyelewengan berhubung isu insurans ladang itu.

“Sejumlah 200 hektar ladang dalam Wilayah Trolak dalam keadaan kritikal akibat serangan itu dan ia memerlukan sekurang-kurangnya RM300,000 untuk atasi serangan ini.

“Dengan makluman itu, seolah-olah tiada harapan kami untuk memulihkan ladang. Kami memohon SPRM untuk menyiasat perkara ini demi mendapatkan keadilan kepada ibu bapa kami sebagai warga peneroka,” katanya.

Difahamkan, peneroka di seluruh negeri bakal membuat aduan di pejabat SPRM setiap negeri berhubung isu yang sama.

-SinarHarian