IPOH: ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim bersedia menawarkan elaun bulanannya sebagai wakil rakyat sekiranya pembangkang dapat membuktikan terdapat ayat di dalam laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menyatakan Perak negeri kedua termiskin.

Beliau berkata, sekiranya wakil rakyat pembangkang dapat membuktikan terdapat sebaris atau sepotong ayat yang menyatakan demikian, beliau akan menyerahkan elaunnya sebulan bernilai RM6,000 kepada mana-mana badan amal yang dinamakan.

“Saya buat tawaran untuk pembangkang, cari sebaris atau sepotong ayat dalam laporan KRI itu yang menyatakan Perak negeri kedua termiskin di Malaysia.

“Selepas itu, namakan mana-mana badan amal, saya akan dermakan elaun saya sebanyak satu bulan,” katanya ketika membahaskan Bajet 2017 semasa Sidang DUN pada Jumaat.

Beliau membuat cabaran itu ekoran tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang yang berterusan mengatakan bahawa berdasarkan laporan KRI, Perak adalah negeri kedua termiskin di Malaysia.

Sebaliknya, laporan itu hanya berkisar mengenai pendapatan isi rumah mengikut negeri.

Abd Manaf berkata, sekiranya pembangkang tidak dapat berbuat demikian, mereka mesti berhenti membangkitkan perkara itu.