IPOH: Seramai 109 keluarga Orang Asli di Kampung Chadak, Chemor dekat sini bakal mendapat nilai tambah ekonomi, hasil Program Tanaman Mangga Madu anjuran Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutn (PAC) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM).

Penasihat program, Suliana Arifin berkata, inisiatif itu turut mendapat kerjasama FAMA yang berperanan memasarkan buah-buah tersebut ke pasaran tempatan setelah ia matang dalam tempoh dua tahun lagi.

Menurut beliau, Jabatan Pertanian Negeri pula akan memberikan khidmat nasihat dan memantau tanaman secara berkala sehingga penduduk memahami dan mampu untuk menjaga tanaman milik mereka.

“Program ini melibatkan 29 penuntut Kursus Pembangunan Masyarakat IV dan pada masa sama kita nak beri pendedahan kepada pelajar,” katanya dalam majlis perasmian program tersebut di Ipoh pada Selasa.

Majlis turut dihadiri Pemangku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz.

Suliana menambah, selain syarat kepada pelajar untuk lulus di dalam jurusan diambil, program itu direncanakan bagi memberi nilai tambah kepada masyarakat terbabit di dalam peningkatan sosio-ekonomi.

“Selain itu ia akan menarik minat golongan belia di kalangan Orang Asli untuk terus tinggal di kampung dan tidak keluar bandar mencari pekerjaan kerana tanaman ini boleh dikomersialkan.

“Pokok mangga madu kini mendapat permintaan yang tinggi di pasaran tempatan serta luar negara dan ia boleh ditanam di pelbagai jenis tanah, terutama dari tanah jenis liat dan berpasir,” katanya.