IPOH: Mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Agama Rakyat Kg Padang Serai, Beruas yang dibuka sejak 2 Disember lalu, telah berkurangan kepada 61 orang pada pagi Isnin, berbanding 73 pada Ahad.

Paras air juga merosot kepada 0.1 meter, berbanding 0.2 meter seperti yang direkodkan sebelum ini.

Gambar hiasan

Bagaimanapun, ia mungkin meningkat berikutan hujan yang turun di kawasan berkenaan pada sebelah pagi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memberitahu, sehingga jam 8 pagi, terdapat 15 keluarga dari Kampung Padang Serai yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara itu.

Sebelum ini, dua pusat pemindahan sementara di Kuala Kangsar dan Parit ditutup apabila keadaan banjir di beberapa kampung di kawasan tersebut pulih.

Pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Simpang 3, Parit yang dibuka jam 8 malam Sabtu ditutup pada 2 petang Ahad manakala pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Kg Setor, Kuala Kangsar yang dibuka jam 9 malam Sabtu pula ditutup pada 5 petang Ahad.