IPOH: Mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Agama Rakyat Kg Padang Serai, Beruas terus berkurangan kepada 58 orang pada petang Isnin, berbanding 61 pada di sebelah pagi.
Bagaimanapun, setakat jam 4 petang, paras air di kawasan yang terlibat masih kekal seperti yang dilaporkan sebelum ini iaitu 0.1 meter.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memberitahu, cuaca di sekitar kawasan Kampung Padang Serai pula kelihatan mendung.

Sebelum ini, dua pusat pemindahan sementara di Kuala Kangsar dan Parit ditutup apabila keadaan banjir di beberapa kampung di kawasan tersebut pulih.

Pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Simpang 3, Parit yang dibuka jam 8 malam Sabtu ditutup pada 2 petang Ahad manakala pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Kg Setor, Kuala Kangsar yang dibuka jam 9 malam Sabtu pula ditutup pada 5 petang Ahad.