KAMPAR: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di daerah Kampar sejak Jumaat lalu, kekal 14 orang.

Mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan itu apabila rumah mereka di Kampung Cabang Dua, Kuala Dipang, dekat sini, dinaiki air mulai 10.24 malam Jumaat.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD) Kampar, mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana didapati masih belum selamat.

“Mangsa terdiri daripada tiga lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan,” katanya di sini.

Menurutnya, seramai 28 pegawai serta anggota daripada pelbagai agensi terus memantau situasi banjir itu dari semasa ke semasa.

Sementara itu, pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong di Teluk Intan, ditutup pada 9.40 pagi Isnin selepas banjir di tiga kampung berhampiran, pulih sepenuhnya.

Tiga kampung itu ialah Kampung Batu 7 1/2, Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9.