TELUK INTAN: Mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Kg Pengkalan Ara, dekat sini berkurangan kepada 27 orang malam Ahad, berbanding 34 orang pagi tadi.

Pusat pemindahan itu dibuka 9.30 malam Jumaat selepas beberapa buah rumah di Parit 3 dan Parit 5 kampung berkenaan dinaiki air kira-kira 0.3 meter.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, sehingga jam 9 malam Ahad, bilangan keluarga mangsa berkurangan kepada 10 berbanding 11 sebelumnya.

Mereka terdiri daripada lelaki dewasa (10), perempuan dewasa (9), kanak-kanak lelaki (2) dan kanak-kanak perempuan (6).

“Satu keluarga telah berkurangan kerana mereka telah pulang ke Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.