IPOH –Bilangan mangsa banjir di negeri Perak bertambah daripada 87 orang kepada 91 orang apabila empat lagi mangsa dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Kerian pada pukul 12 tengah hari tadi.

Menurut Jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), pertambahan tersebut adalah disebabkan paras air yang semakin naik selepas empangan Bukit Merah melepaskan air pada kadar 1,000 kaki padu sesaat.

“Selain itu, hujan yang turun di kawasan Ijok dan Pondok Tanjung juga merupakan faktor tambahan kepada penambahan air lantaran Kerain merupakan kawasan yang rendah dan mudah menakung air,” ujar beliau ketika dihubungi.

Pihak Sekretariat juga diletakkan di dalam keadaan berjaga-jaga kerana paras air semakin meningkat dan bersedia untuk membuka satu lagi PPS di daerah itu.

“Sebuah PPS akan dibuka di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu untuk menempatkan mangsa dari Kampung Parit Simpang Empat dan Kampung Parit Simpang Lima pada bila-bila masa,” tambah beliau.

Sementara itu, keadaan air di PPS Sekolah Temerlok, Trong, bilangan mangsa telah berkurang kepada 26 orang melibatkan lapan buah keluarga.

“Sebuah keluarga dengan sembilan mangsa telah dibenarkan pulang apabila didapati air semakin surut,” kata beliau.

Pada jam 10 tadi, pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pantai Remis telah ditutup setelah air surut.