IPOH: Mangsa banjir di Perak meningkat kepada 94 orang apabila dua lagi kampung di Sungai Manik dan Pengkalan Bahru di naiki air selepas hujan lebat malam tadi.

Kampung-kampung itu ialah Kg Pengkalan Ara, Sungai Manik dan Kg Padang Serai, Pengkalan Bahru.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memberitahu, sehingga jam 12 tengah malam tadi, 27 mangsa dari sembilan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara apabila rumah mereka dinaiki air kira-kira 0.325 meter (1 kaki).

Menurutnya, 24 orang daripada tujuh keluarga pula dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Agama Rakyat Kg Padang Serai apabila rumah mereka dinaiki air kira-kira 0.2 meter.

Terdahulu, 43 mangsa dari 13 keluarga di Kg Jawa, Trong dipindahkan ke pusat pemindahan di surau kampung tersebut apabila rumah mereka dinaiki air kira-kira 0.325 meter.

Berdasarkan laporan tersebut, keseluruhan mangsa banjir di Perak ialah 94 orang daripada 29 keluarga telah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara sehingga jam 12 tengah malam tadi.