IPOH: Bilangan mangsa banjir di Perak meningkat kepada 588 orang daripada 184 keluarga di sembilan pusat pemindahan setakat jam 9 pagi ini.

 

Timbalan Pengarah Pertahanan Awam Perak, Zairil Anuar Zulmuji, berkata jumlah mangsa itu meningkat sedikit berbanding 565 orang daripada 176 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan malam tadi.

 

Beliau berkata, satu pusat pemindahan terbaharu dibuka pagi ini di Dewan Orang Ramai Tanjung Tualang, daerah Kinta. “Pusat pemindahan yang baharu dibuka itu menempatkan 19 orang daripada lapan keluarga menjadikan 95 orang daripada 30 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di daerah berkenaan.

 

“Jumlah mangsa mula menunjukkan peningkatan selepas hujan berterusan malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

 

Zairil berkata, Manjung kekal daerah tertinggi mencatatkan mangsa dengan seramai 383 orang daripada 124 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai dan Dewan Inderawati. Katanya, ia diikuti daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) dengan seramai 65 orang daripada 16 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di Surau Padang Serai Dalam dan Dewan Kampung Matang Merbau. Katanya, bagi daerah Hilir Perak dan Perak Tengah pula tidak berubah.