GEORGE TOWN, 6 Nov (Bernama) — Jumlah mangsa banjir di lima daerah di Pulau Pinang hingga awal pagi ini terus meningkat kepada 5,845 berbanding 3,779 mangsa malam tadi yang ditempatkan di 62 pusat pemindahan.

Daerah Seberang Perai Utara mencatat jumlah mangsa paling ramai dengan 3,371 orang di 30 pusat pemindahan diikuti daerah Seberang Perai Tengah dengan 2,119 mangsa di 27 pusat pemindahan.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata bilangan mangsa banjir yang dipindahkan meningkat malam tadi berikutan hujan dan air pasang besar sehingga beberapa kawasan lagi turut dinaiki air.

Kawasan yang terlibat di Seberang Perai Utara ialah Sungai Dua, Nyior Sebatang, Lahar Yooi dan Desa Murni manakala di Seberang Perai Tengah ialah Kampung Tanjung Putus dan Permatang Tinggi.

Sejumlah 33 mangsa pula ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Seberang Perai Selatan manakala di Barat Daya 130 mangsa di dua pusat pemindahan dan 192 mangsa di dua pusat di daerah Timur Laut.

Sementara itu, agensi kerajaan persekutuan seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba bersedia sejak 6 pagi untuk membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke sekolah.

Keadaan cuaca di seberang pagi ini masih mendung dengan hujan di Seberang Perai Utara manakala di bahagian pulau cerah.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air di antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak 2 petang Khamis yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa.

— BERNAMA