TELUK INTAN: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara meningkat mendadak daripada 70 orang tengahari Sabtu kepada 101 orang pada sebelah petang.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hilir Perak, bilangan itu dijangka terus meningkat kerana hujan lebat.

Selain Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9, sebuah lagi kampung, iaitu Kampung Batu 7 1/2 pula dilanda banjir.

Kesemua mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong.

“Sekarang berlaku hujan lebat di daerah Hilir Perak dan operasi mengeluarkan mangsa di Lorong Mesra dijalankan ketika ini,” katanya di sini.

Kedalaman air di rumah-rumah yang terlibat dikatakan mencecah sehingga ke paras pinggang atau kira-kira satu meter.

Lewat malam tadi, seramai 57 orang daripada 13 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir apabila rumah mereka di dua kampung dekat sini dinaiki malam ini.

Seramai 30 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai agensi sedang memantau situasi banjir itu dari semasa ke semasa.