TELUK INTAN: Bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan di sekitar Kampung Pengkalan Ara, Sungai Manik, di sini meningkat sehingga ke 38 orang sehingga petang Sabtu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Hilir Perak, SM Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata ketika mula dibuka pada 1 petang, pusat itu menempatkan hanya 17 mangsa.‎‎

“Setakat pukul 7 petang, seramai 38 orang yang terdiri daripada 9 keluarga telah dipindahkan ke SK Pengkalan Ara dan semua pihak masih dalam keadaan berjaga-jaga untuk menguruskan lebih ramai berikutan kemungkinan air dijangka naik.

“Kami juga membantu memindahkan seorang mangsa banjir yang lumpuh ke pusat pemindahan dan jumlah mangsa melibatkan 14 lelaki, 13 wanita, 7 kanak- kanak lelaki dan 4 kanak-kanak perempuan,”katanya lagi.

Beliau yang juga merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak itu berkata kawasan perkampungan tersebut sememangnya terletak di kawasan rendah dan hujan lebat yang berterusan menjadikan keadaan bertambah teruk.

 

 

Fazly berkata banjir setinggi 1 kaki tersebut turut melimpah masuk rumah di sekitar ruang tamu dan bilik tidur menyebabkan sembilan keluarga tersebut berasa agak cemas pada mulanya.

“Antara agensi terlibat adalah APM, Polis, Bomba, JKKK, Rela, Jabatan Kebajikan dan daripada Kementerian Kesihatan seramai 26 orang.

“Setakat ini, cuaca masih mendung manakala keadaan adalah terkawal,”katanya lagi.