IPOH: Dua lagi pusat pemindahan banjir dibuka lewat malam Sabtu apabila beberapa buah kampung di daerah Perak Tengah dan Kuala Kangsar dinaiki air antara 0.3 – 2 meter.

Sebelum ini, pusat pemindahan di Sekolah Agama Rakyat Kg Padang Serai di Beruas yang dibuka sejak 2 Disember lalu, masih menempatkan 73 mangsa dari 17 keluarga apabila Kg Padang Serai masih digenangi air sedalam 0.2 meter.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, sehingga jam 1 pagi Ahad, jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan di tiga pusat pemindahan ialah 193, daripada 42 keluarga.

Pusat pemindahan di Dewan Kg Setor, Lubuk Merbau, dibuka pada jam 11 malam, menempatkan 24 mangsa apabila banjir melanda Kg Changkat Gohor, Kg Paya Panjang, Kg Gapis, Kg Jeliang, Kg Lempor dan Kampung Setor.

 

 

Manakala di daerah Perak Tengah, pusat pemindahan dibuka di Dewan Orang Ramai Simpang Tiga jam 10 malam bagi menempatkan 96 mangsa daripada 21 keluarga selepas Kg Simpang 3 dan Kg Serapoh dinaiki air kira-kira 2 meter.

Pihak JPBN masih memantau perkembangan banjir di seluruh negeri kerana hujan masih turun di beberapa kawasan dan tidak menolak kemungkinan penambahan mangsa.