IPOH: Pusat Pemindahan Sementara mangsa banjir di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pantai Remis telah ditutup pada pukul 10 pagi hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat bagi memastikan kelancaran pentadbiran dan keselesaan mangsa semasa berada di pusat pemindahan.

“Kerjasama dan keprihatinan anda disanjung tinggi dan semoga kerjasama ini dapat terus dikekalkan pada masa hadapan demi kemaslahatan rakyat di Daerah Manjung,” ujar beliau.

Menurut Mohamad Fariz, 37 orang mangsa dari 10 buah keluarga itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, bilangan mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara di Taiping dan Kerian masih dibuka.

Pusat pemindahan Sekolah Temerlok, Kampung Temerlok, Trong masih sama dengan 35 orang mangsa dari sembilan buah keluarga, manakala pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak juga kekal dengan 12 buah keluarga melibatkan 52 orang mangsa.

Menurut Jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah terkini mangsa banjir di dua daerah tersebut ialah seramai 87 orang mangsa dari 21 keluarga.

“Setakat jam 8 pagi, dua pusat pemindahan masing-masing di Taiping dan Kerian masih dibuka, manakala pusat pemindahan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai telah ditutup pada pukul 10 pagi.

“Namun, pihak JPBN masih berada di dalam keadaan berjaga-jaga di pusat pemindahan tersebut kerana ada kemungkinan banjir akan berlaku semula di lokasi tersebut,” ujar beliau ketika dihubungi Suara Perak.