IPOH – Bilangan mangsa banjir di negeri ini berkurang kepada 219 daripada 307 orang melibatkan 58 keluarga, yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat jam 4 petang.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBD) berkata pengurangan adalah disebabkan mangsa yang ditempatkan PPS Sekolah Kebangsaan Beruas, Manjung telah dibenarkan pulang.

” Merka yang dibenarkan puland merupakan penduduk dari Kampung Paya Lima, Kampung Tersusun Belakang Masjid, Kampung Paya Ara dan Kampung Pulau Kabong. Kesemua 137 mangsa dari 41 buah keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula jam 2 petang tadi memandangkan keadaan selamat untuk mereka berbuat demikian.

“Walaubagaimanapun, PPS masih beroperasi sehingga jam 8 malam ini jika air naik. Sebarang penutupan rasmi PPS akan dimaklumkan,” ujar beliau ketika dihubungi.

Beliau menambah, keadaan cuaca cerah dan paras air berada pada ketinggian 0.2 meter.

Sementara itu, kemaskini setakat pukul 4 petang mendapati bilangan mangsa di daerah Kerian yang masih mendapatkan perlindungan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak masih kekal dengan 16 keluarga dan 74 mangsa manakala PPS SK Alor Pongsu pula menunjukkan pertambahan mangsa menjadi 81 orang dari 27 keluarga.

“Mangsa juga semakin bertambah di PPS Surau Nurul Jannah, Kampung Parit 6, Layang-Layang Kiri, Parit dengan 14 keluarga melibatkan 64 orang mangsa,” kata beliau.