KUALA KANGSAR- Lelaki berusia 56 tahun yang dipercayai hilang setelah keluar dari rumah ke kebun di Kampung Kroh Hulu di sini kelmarin, ditemui selamat oleh penduduk tempatan kira-kira jam 2 petang pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, mangsa, Mohd Nazari Anjang Latif, ditemui sedang berjalan kaki keluar dari kawasan kebun getah sambil melambai tangan meminta pertolongan.

Bomba dan penyelamat

“Kebun tersebut jaraknya lebih kurang 800 meter dari tempat motosikal mangsa dan dia dalam keadaan keletihan dan tidak bermaya serta tidak memakai baju, hanya memakai seluar panjang berwarna kelabu.

“Pasukan operasi dan lain-lain pasukan bantuan kemudiannya tiba di lokasi tersebut dan pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan mendapati tiada sebarang tanda kecederaan berpunca dari kejadian jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, mangsa dibawa menaiki ambulan pasukan Bomba dan Penyelamat ke Hospital Kuala Kangsar bagi rawatan lanjut.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki berusia 56 tahun dikhuatiri hilang selepas dilaporkan keluar dari rumah untuk ke kebun di Kampung Kroh Hulu, di sini malam kelmarin.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.35 malam tadi.

Mangsa dipercayai hilang di kebun berdasarkan motosikal mangsa dijumpai berhampiran kebun getah, di mana mangsa menoreh.