IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan mangsa hujan ribut di sekitar Gugusan Manjoi dan Meru pada Ahad petang, membuat laporan polis bagi memudahkan proses untuk menyalurkan bantuan.

Menurut beliau, berdasarkan meninjau yang dibuatnya, didapati beberapa rumah mengalami kerosakan teruk dan ada di kalangan mangsa terpaksa dipindahkan sementara ke Surau Kampung Kolam di Manjoi.

Sehubungan itu, katanya, fokus utam adalah untuk menyalurkan bantuan segera kepada semua mangsa malam ini.

Menurutnya, buat masa ini pihak Majlis Bandaraya Ipoh dan beberapa ahensi lain sedang membersihkan pokok-pokok yang tumbang di samping pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang membantu menyambung semula bekalan elektrik ke semua kediaman dan premis terlibat.

“Esok saya akan menggerakkan usaha gotong royong untuk membaiki rumah rumah yang terjejas. Saya yakin ukhuwan di kalangan masyarakat di sini kuat dan kita akan membantu semua mangsa,” katanya selepas melawat kawasan terlibat lewat petang Ahad.

Ahmad Faizal menyeru supaya semua mangsa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu ke pusat penempatan sementara demi keselamatan mereka dan jangan lupa bawa bersama dokumen-dokumen penting.

Setakat ini jumlah sebenar kediaman yang terlibat masih belum dipastikan tetapi ia dianggarkan lebih 20 buah.