IPOH: Kerajaan negeri akan menyediakan bantuan sewa rumah di bawah pengurusan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) kepada empat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Kepayang, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan itu akan diuruskan pada kadar segera memandangkan ada di antara mangsa tinggal sementara di dewan masjid.

Menurutnya, kerajaan dimaklumkan bahawa rumah-rumah terlibat adalah rumah sewa, termasuk sebuah rumah yang dihuni tujuh sekeluarga, manakala dua rumah lagi dihuni empat individu bujang sementara sebuah rumah tidak berpenghuni.

“Jadi kerajaan negeri akan bantu mangsa terlibat ini untuk menyewa di rumah-rumah dibawah pengurusan LPHP sesegera mungkin,” katanya selepas meninjau keadaan mangsa kebakaran di Dewan Masjid Muslimat Qariah Kampung Kepayang di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, semua mangsa kini berada dibawah penyelarasan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah Kinta.

“Bailtulmal juga telah menyalurkan sumbangan awal kepada semua mangsa terlibat,” katanya.

Kebakaran yang berlaku sekitar jam 4.15 petang itu mengakibatkan 11 orang hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku kerana ketika kejadian semua penghuni tiada di rumah.