IPOH – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Perak bersedia membantu mendapatkan khidmat guaman secara percuma kepada lima keluarga mangsa kebakaran rumah kedai di Jelapang Maju yang mengorbankan enam nyawa, 11 Disember lalu.

Pengerusinya, Datuk Zahar Hashim berkata, langkah itu bagi membolehkan pendekatan undang-undang digunakan untuk membela kematian lima remaja yang ketika kejadian bekerja sambilan mencari duit poket.

“Hampir sebulan tragedi itu berlaku, kita lihat banyak jabatan dan agensi tampil menghulurkan sumbangan moral dan kewangan, namun belum ada pihak tampil membantu menegakkan keadilan untuk mereka.

“Saya kira tiada masalah untuk DPIM membantu kerana ramai ahli kita juga kalangan peguam, perkara ini akan kita bincangkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Surau Al Amaniah RPT Kampung Sri Aman, Menglembu, hari ini.

Menurutnya, ahli keluarga waris menyambut baik tawaran berkenaan dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya.

“Mereka juga sebenarnya ternanti-nanti akan ada pihak sudi tampil dari sudut pembelaan kerana itu kita syorkan supaya ada satu tindakan undang-undang diambil.

“Banyak andaian yang membawa kemungkinan-kemungkinan lain mengakibatkan kejadian itu berlaku, jadi ahli keluarga berhak tahu punca sebenar,” katanya.

Selain bantuan guaman, Zahar berkata, pihaknya juga bersedia menghulurkan bantuan berupa keperluan makanan secara bulanan kepada setiap keluarga.

“Kita akan lihat dulu setakat mana keperluan untuk keluarga-keluarga ini, jika perlu kita akan ikhtiarkan agar bantuan makanan disalurkan secara bulanan,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan Zahar Advisory Group (ZAG) menyampaikan sumbangan kewangan bernilai RM500 kepada setiap keluarga.

Dalam pada itu, bapa kepada seorang mangsa, Mohamad Kamari Talib, 54, menyambut baik langkah DPIM itu.

“Kami memang ada hasrat nak ambil tindakan undang-undang, tetapi sebagai orang kampung manalah tahu selok belok undang-undang, dari segi pembiayaan juga kami tak mampu,” katanya.

Dalam kejadian bulan lalu, lima sahabat, Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16, Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16; Ahmad Faizal Aminuddin, 16 dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, ditemui rentung dalam kebakaran yang berpunca daripada bahan letupan.

Turut terkorban, pemilik premis, P Thiagarajan, 40, ketika kejadian mereka yang bekerja sambilan sempena cuti sekolah dipercayai sedang membuat persiapan bagi satu acara di tingkat atas bangunan – sinar harian