Oleh:Nazialita Geynna Maharan
LENGGONG: Usaha mencari mangsa kedua bot karam di perairan Sg Kg Kelantan berakhir dengan penemuan mayat pada pagi Isnin.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong berkata mangsa dijumpai dalam keadaan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar 7.55 pagi di perairan berkenaan.
Mangsa, Mohd Faliq Fadhul,26 ditemui pada pagi Isnin selepas mayat rakannya Amirul Asyraff Abdullah,24 ditemui pada petang semalam (Ahad).
“Mangsa ditemui pada jarak 100 meter dari lokasi bot separuh karam dalam keadaan terapung dan keadaan air sungai pada waktu itu adalah tenang dan cuaca baik,”katanya dalam kenyataan media di sini,pada hari ini.
Kedua-dua mereka dipercayai telah keluar ke perairan Sg Kg Kelantan pada Sabtu lepas sebelum bot yang disewa mereka didapati karam oleh pemilik bot berkenaan yang melaporkannya kepada pihak berkuasa.
“Mangsa telah dinaikkan dan diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya dan seramai 39 anggota termasuk PDRM, BBP Lenggong, APM, orang kampung terlibat dan lima unit bot digunakan dalam operasi selama dua hari ini.
Jelasnya,operasi pencarian dilaksanakan dengan dua kumpulan berpecah di mana satu kumpulan melakukan pencarian di sungai dalam radius 20 kilometer manakala satu di darat sepanjang lima kilometer di tebing sungai.

“Operasi tamat sekitar 9.25 pagi dan diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Mohd Annuar Mohd Saff,”ujarnya lagi.