KUALA LUMPUR: Baru masuk bulan kedua 2018, jumlah kematian akibat lemas berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) setakat 21 Februari sudah mencecah 65 orang.

Timbalan Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid, berkata peningkatan kes lemas adalah membimbangkan, dengan kebanyakan kes berlaku di pantai, sungai, air terjun, tasik atau lombong dan pembetung.

“Sebanyak 652 kematian direkodkan setakat ini termasuk 260 kes pada 2016 selain 327 kes dicatatkan pada tahun lalu manakala tahun ini, setakat ini 65 kematian dicatatkan dan kita baru di bulan Februari,” katanya dalam satu temu bual yang diadakan baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, jumlah yang diperoleh itu mungkin berbeza dengan agensi penguatkuasaan lain kerana Pasukan Penyelamat Dasar Laut JBPM dihantar hanya jika mangsa atau mayat tidak dapat ditemui.

Soiman berkata, pada tahun ini, daripada 65 kematian 54 orang mati apabila mereka tenggelam selepas dihanyutkan oleh arus yang kuat termasuk dalam tragedi terbaru Isnin lalu di mana lima orang mati lemas di Selangor.

Lima pemancing, Jamaluddin Rapawi, 14; Silawati Zailan, 31; Jaleha Hashim, 48 dan Rapawi Jum’ada, 37 selain seorang warga Indonesia dikenali sebagai Hashir, 30 mati lemas selepas mereka dihanyutkan oleh arus yang kuat.

Soiman berkata, menjadi perkara biasa bagi rakyat Malaysia setiap kali tiba musim cuti terutama cuti sekolah, cuti umum atau hujung minggu, mereka akan beriadah di kawasan rekreasi air.

Katanya, wujud kemungkinan untuk berlaku kes lemas jika masyarakat mengabaikan aspek keselamatan di kawasan rekreasi air.

“Ramai orang masih tidak peduli mengenai keselamatan mereka di taman rekreasi air walaupun papan tanda amaran dan bendera merah diletakkan untuk keselamatan mereka.

“Kebanyakan yang terbabit dalam kemalangan adalah orang luar, kerana mereka tidak biasa dengan persekitaran di kawasan rekreasi air serta arus air,” katanya.

Bagaimanapun, kata Soiman, kejadian lemas boleh dielakkan jika perhatian serius diberi terhadap aspek keselamatan sebelum memasuki air.

“Ia bermula dengan kesedaran diri, berhati-hati sebelum melakukan apa-apa kegiatan yang berkaitan dengan air, antara langkah berjaga-jaga yang perlu dilakukan orang ramai termasuk memeriksa ramalan cuaca serta kesihatan diri kerana jika tidak sihat, mungkin lebih sukar melawan arus air yang kuat.

“Ini bukan hanya pada hari lawatan mereka ke tapak rekreasi, tetapi juga pada hari sebelumnya kerana jika hujan pada hari sebelumnya atau pada hari itu, saya cadangkan batalkan saja rancangan mereka kerana paras air mungkin meningkat dan arus kuat mungkin berlaku.

“Bawa bersama jaket keselamatan, pelampung keselamatan untuk kanak-kanak dan beberapa tali, lebih baik bersedia kerana kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku di sana selain sentiasa periksa sama ada tapak rekreasi berisiko tinggi atau tidak.

“Sesetengah laman sesawang meletakkan tanda atau bendera merah untuk memberitahu pelawat beberapa tempat rekreasi air yang berbahaya.

Katanya Soiman, orang ramai juga perlu mengenalpasti perubahan yang boleh menjadi tanda awal akan berlakunya arus air yang kuat seperti perubahan air daripada aliran yang jernih hingga keruh dan aliran air yang membawa bersama sampah atau ranting pokok.

“Jika anda melihat semua ini, segera tinggalkan tempat itu. Jangan teragak-agak atau tidak mengambil kisah,” katanya.

Tegas beliau, risiko sentiasa ada di tapak rekreasi kerana kemalangan sukar dijangka, sebaliknya langkah berjaga-jaga harus diambil oleh orang ramai untuk mengurangkan ancaman – berita harian