TRONG: Jenazah dua beradik yang lemas di kolam takungan bekas lombong bauksit, di Taman Sungai Karang Jaya, Kuantan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Jarum Mas, di sini kira-kira jam 11.15 pagi dalam satu liang lahat.

Salsabila Zuhairi, 12 dan adiknya, Mahathir Mohamad Zuhairi, 10, tiba di kampung ibu mereka di Kampung Jarum Sungai Mas Sungai Nyior, kira-kira jam 7.15 pagi tadi selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Bapa saudara arwah, Nor Hamizi Sapian Suri, 38, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian dua beradik itu walaupun masih terkejut dengan kejadian tidak diduga itu.

Menurutnya, sehingga kini pihak keluarga terutama bapa arwah, Zuhairi Syukor, 51 dan ibu, Nor Azilah Muzaffar Shah,32, masih memerlukan sedikit masa untuk tenang dan stabil.

“Bagaimanapun, apa sahaja tindakan selanjutnya diserahkan kepada kedua ibu bapa dua beradik itu,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Jarum Mas, di sini pada petang Sabtu.

dua beradik lemas 2

Dalam perkembangan lain, Nor Hamizi berkata, dia amat berharap pihak yang berkaitan dapat melihat semula perkara ini kerana difahamkan kolam takungan bekas lombong bauksit itu terlalu dekat dengan kawasan perumahan penduduk.

“Kita tidak mahu kejadian sama berulang dan berlaku pada orang lain pula,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Hamizi berkata, Salsabila dan Mahathir Mohamad adalah anak sulung dan keempat daripada lima beradik.

“Tiga lagi adik beradik mereka iaitu Mohamad Aiman Hakimi, 10; Nur Kasih, 8 dan Talha Ubaidillah, 2, memang akrab antara satu sama lain.
“Apa sahaja yang mereka ada akan dikongsi bersama dan main bersama.

“Kelima-lima beradik ini sangat rapat dan manja dengan kedua ibu bapa mereka,” ujarnya.