SEKINCHAN: “Dua hari lalu, dia (arwah) sempat meleraikan komponen motosikal milik keluarga dan memasangnya semula pada hari sama.

“Saya bertanya kenapa melakukan perkara itu, namun dia hanya mendiamkan diri dan itu antara petanda terakhir dia pergi meninggalkan kami semua buat selamanya,” kata Siti Nur Asikin Salim, 36, ibu kepada seorang remaja lelaki yang maut akibat lemas di Tali Air 7, Kampung Sungai Labu di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, mangsa, Muhammad Shahniq Abdul Latif, 16, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mustaffa, Pasir Panjang bersama tiga rakannya mandi di kawasan parit berkenaan sebelum ditemui lemas.

Nur Asikin berkata, dia mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan oleh dua anak perempuannya, Nurina Damia, 8, dan Nurin Halimah, 13.

“Pada waktu itu, saya sedang menyiapkan kuih untuk juadah minum petang sebelum dua anak saya bergegas pulang ke rumah dan memberitahu arwah lemas di parit.

“Saya kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati orang ramai berkumpul di sekitar kawasan berkenaan. Saya ketika itu berdoa tiada perkara buruk berlaku.

“Namun, luluh hati ini melihat arwah dibawa ke darat dan disahkan meninggal dunia. Seluruh tubuh menggeletar dan dunia ini dilihat gelap seketika,” katanya sebak ketika ditemui NSTP, hari ini.

Beliau berkata, anak pertama daripada empat beradik itu menunjukkan perubahan ketara sejak seminggu lalu, termasuk meleraikan dan memasang semula komponen motosikal keluarga, Jumaat lalu – berita harian