PARIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas yang dihanyutkan arus Sungai Perak Syawal ketiga pada 17 Jun lepas akhirnya dihentikan pada petang Jumaat semalam.

 

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidun ketika dihubungi berkata operasi pencarian yang bermula pada Ahad lepas itu dihentikan setelah enam hari berjalan tanpa sebarang petunjuk.

 

Katanya, keputusan itu diambil setelah mengambil kira faktor perbincangan dengan pihak polis yang bekerjasama dalam operasi pencarian yang melebihi 72 jam itu.

 

“Sebenarnya, jika mengikut prosedur yang tepat,.. biasa kami tamatkan pada hari keempat tetapi atas persetujuan bersama agensi lain operasi dilanjutkan sehingga hari keenam.

 

“Hasil persetujuan daripada pihak-pihak terlibat, ops pencarian ditutup kerana telah melebihi 72 jam dan tiada tanda penemuan mangsa. Di pihak Bomba Perak, ops menyelam dan unit k-9 akan kami tamatkan,”katanya ketika dihubungi pada petang Sabtu.

 

Menurutnya lagi, buat masa ini pemantauan masih berjalan seperti biasa iaitu secara berkala oleh pihak Rela dan JPS serta diselia oleh pihak polis.

 

Sebelum ini, Ketua Operasi BBP Parit, Penolong Penguasa Bomba Zaiful Affendi Ahmad berkata pihaknya menutup operasi itu sekitar jam 6 petang setelah operasi yang dijalankan selama enam hari gagal membuahkan hasil.

 

“Seramai 34 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dan lima buah bot membantu mengesan mangsa dalam ops hari terakhir ini. Pencarian turut dilakukan sehingga jarak 17 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas, dari hilir sungai ke bahagian atas,”ujarnya lagi.

 

Pada Jun 17 lepas, media melaporkan insiden di mana seorang pelajar lepasan Politeknik, Mohamad Ikhwan Mohamad Nizam, 22, dipercayai sedang membantu membetulkan jala ayahnya di tebing sungai lemas dihanyutkan arus deras Sungai Perak.