SHAH ALAM: Lelaki yang melecur selepas mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Johan Setia meletup, minggu lalu, meninggal dunia pagi tadi.

Mangsa, Badrul Niezam @ Maidin, 43, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 8.30 pagi tadi ketika dirawat di situ.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pihaknya menerima maklumat daripada anak mangsa pada jam 9 pagi tadi mengenai bapanya yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan.

“Doktor mengesahkan kematian mangsa pada jam 8.30 pagi. Punca kematian akibat terbakar serius sebanyak 73.5 peratus dengan kegagalan pelbagai organ badan,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan, mangsa dan anaknya melecur di sebuah dobi layan diri 24 jam selepas berlaku letupan di premis berkenaan di Jalan 3E, Bandar Putera 2 di sini, 4 Oktober lalu.

Difahamkan kejadian jam 9 pagi itu berlaku selepas mangsa yang berusia 43 tahun itu menekan butang mula pada mesin pengering berkenaan.

Kejadian berkenaan menyebabkan beliau melecur 57 peratus dan juga anak perempuan berusia 14 tahun itu melecur 37 peratus di beberapa bahagian badan.

Kejadian dikatakan berpunca daripada masalah teknikal pada mesin pengering yang menyebabkan api menyambar bahagian belakang yang menempatkan tong gas.

Sementara itu, Shamsul Amar berkata, anak mangsa sudah dipindahkan ke Hospital Selayang pada 8 Oktober lalu dan keadaannya dilaporkan bertambah baik.

Katanya, mangsa kini sudah boleh makan dan minum selain sedang menjalani rawatan kulit – berita harian