LANGKAWI: Mangsa kemalangan jalan raya bersyukur menerima pampasan RM106,454.40 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini dan mahu guna sebahagian wang untuk berkahwin.

Engku Muhammad Shamin Fitri Engku Azhar, 24, yang hilang upaya kekal akibat kemalangan 20 Februari tahun lalu, berkata hingga sekarang beliau tidak bekerja dan bergantung harap pada wang cuti sakit berbayar daripada PERKESO dengan purata RM2,000 sebulan.

“Memang bersyukur sangat dengan wang faedah hilang upaya kekal sebanyak RM106,454.40 diberikan PERKESO, malah saya tidak pernah bermimpi pun untuk dapat wang sebanyak ini.

“Ya, pasti sebahagian duit RM106,454.40 yang diterima hari ini akan saya gunakan untuk berkahwin, tapi bukan sekarang kerana masih sakit dan sedang dirawat di hospital,” katanya.

Pemuda dari Kampung Raja, Mukim Padang Matsirat di sini, berkata demikian selepas menerima cek berkenaan daripada (PERKESO), yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Hospital Langkawi (HL), Dr Md Razis Ramli, Pengurus PERKESO Langkawi, Yusuf Kasim dan kakitangannya.

Sebelum kemalangan, Muhammad Shamin yang juga anak tunggal kepada pasangan Engku Azhar Engku Musa, 51, serta Nor Azilina Zainal Abidin, 46, adalah pemuda yang cergas dan bekerja sebagai seorang juruteknik.

Tragedi pahit itu berlaku pada pagi 20 Februari tahun lalu di Kampung Bayas di sini, ketika Muhammad Shamin dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah hotel enam bintang di sini.

Mengulas lanjut nahas yang menimpanya sehingga doktor mengesahkan Muhammad Shamin kini hilang upaya kekal dan terpaksa melupakan dunia pekerjaan, beliau reda dengan ujian Allah.

“Pada hari kejadian, saya dari rumah untuk ke tempat kerja pada awal pagi sebelum terlanggar tiang lampu ketika cuba mengelak seorang wanita warga emas melintas jalan.

“Ekoran itu, pada paha kiri dan kanan saya masing-masing patah di dua tempat serta lengan kanan, selain terlucut sendi siku kanan dan gangguan saraf jari,” katanya selepas menerima cek daripada PERKESO di wad Hospital Langkawi (HL) di sini, hari ini.

Katanya, sepanjang setahun lalu beliau beberapa kali menerima rawatan di wad HL termasuk menjalani lebih 10 pembedahan untuk memasukkan besi pada paha dan lengan – berita harian