KUALA KANGSAR: Lima mangsa yang rentung dalam kemalangan antara treler dan kereta di KM255.3 di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora pada Sabtu dipercayai melibatkan empat keluarga berbeza.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, DSP Zahiri Hassan berkata, setakat ini tiga keluarga telah tampil menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini.

Menurut beliau, maklumat mangsa yang diperolehi setakat ini ialah dua penumpang wanita dan seorang bayi lelaki selepas anggota keluarga masing-masing tampil melakukan ujian DNA.

“Sebuah keluarga dari Shah Alam hari ini tampil dan mengesyaki saudara lelaki mereka turut berada di dalam kenderaan itu dan mereka lakukan DNA,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini, pada Isnin.

Menurut DSP Zahiri, kesemua sampel DNA itu diserahkan kepada Jabatan Kimia dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis sedang mengesan seorang lagi waris mangsa yang dipercayai pemandu kereta terbabit dan siasatan menyeluruh dilakukan termasuk pemeriksaan ke atas nombor casis kenderaan berkenaan.

Dalam nahas 11.47 pagi Sabtu, lima mangsa rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas dirempuh sebuah treler.

Kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Selangor untuk menghadiri upacara keagamaan di Taiping.