KUALA LUMPUR: Sudahlah disamun hingga premisnya kosong, seorang pengurus syarikat turut dipaksa membayar sewa lori dan upah enam penjenayah berjumlah RM1,300 sebelum mereka melarikan diri.

Dalam kejadian 23 April lalu, seorang pengurus syarikat pembekal tuala berusia 47 tahun didatangi seorang suspek yang mendakwa mahu membeli tuala di premisnya di Jalan Perkasa 1, Taman Maluri, Cheras, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata sebaik mangsa membuka pintu, enam lelaki lain yang menunggu di belakang premis berkenaan meluru masuk dan terus menuju ke pejabat.

“Kumpulan suspek berkenaan kemudian mengeluarkan semua bekalan tuala bernilai kira-kira RM200,000 sebelum dipunggah masuk ke dalam sebuah lori.

“Malah, suspek pertama turut mengarahkan mangsa membayar sewa lori dan upah kepada enam penjenayah lain berjumlah RM1,300,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Ghani berkata, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan sebelum suspek utama yang juga warga India berusia 32 tahun ditahan di sebuah premis di Jalan 5/91, Taman Shamelin Perkasa, Cheras, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Katanya, pemeriksaan dilakukan menemui hampir 30,000 helai tuala yang dipercayai dilarikan suspek.

“Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selama 14 hari dari 2 hingga 15 Mei ini mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya – berita harian