Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Parlimen Bagan Datuk akan mempunyai manifestonya sendiri yang akan dilancarkan pada 28 April ini.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi berkata manifesto tersebut dirangka khusus untuk memenuhi keperluan penduduk setempat.

Menurutnya pelancaran manifesto akan dibuat di Dewan Hajah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat pada hari tersebut.

“Manifesto khas ini merangkumi kepentingan semua kaum di Bagan Datuk iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli kerana PRU kali ini kita ada lapan orang pengundi Orang Asli.

“Kita akan berlaku adil pada semua. Bukan janji kosong.Yang tak janji pun kita buat inikan pulak yang kita janjikan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan selepas sesi lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sungai Buluh, Hutan Melintang, dekat sini pada petang Khamis.

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di deretan kedai di Simpang Tiga,di sini dan beramah mesra dengan peniaga berbilang kaum di kawasan itu.

Beliau yang tiba sekitar pukul 9 pagi itu turut meluangkan masa selama sejam bersarapan serta berbual dengan rakyat setempat, di sini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Katanya, setiap ahli BN memerlukan pertolongan daripada rakan-rakan dari parti komponen sepanjang tempoh berkempen.

BERITA BERKENAAN : Nga Mahu Dianggap ‘The Giant Killer’