KUALA KANGSAR – Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan manifesto Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bakal mengubah landskap pembangunan negeri ini secara menyeluruh.

Pengerusi BN Perak itu berkata, janji untuk membina lapangan terbang berstatus antarabangsa di Seri Iskandar sekiranya BN diberi mandat untuk menerajui negara pada pilihan raya akan datang itu akan menjadi game changer kepada ekonomi negeri.

 

“Alhamdulillah kerajaan juga telah meluluskan permohonan untuk free trade zone diwujudkan di kawasan pembinaan lapangan terbang berkenaan.

“Saya yakin ini adalah satu game changer kerana akhirnya Ipoh selama ini yang tidak boleh mempunyai bangunan tinggi kerana berdekatan lapangan terbang (Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah) akan berubah.

“Ipoh akan berubah, Seri Iskandar akan berubah, Bagan Datuk akan berubah malah seluruh kawasan termasuk Kuala Kangsar juga akan berubah dengna pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur yang sedang giat dijalankan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kuala Kangsar di sini pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru beliau menyeru pengundi negeri ini untuk memberi sokongan padu kepada calon-calon BN pada PRU-14 bagi memastikan segala perancangan yang dibuat itu dapat dilaksanakan.

Jentera-jentera parti negeri itu juga diseru untuk bersiap sedia dan melipat gandakan usaha bagi memastikan Perak terus kekal dibawah BN.

“Kita semua perlu mempersiapkan diri untuk menghadapai saat penting ini kerana ianya telah tiba, kita perlu bina keyakinan diri, jangan kita berasa gundah gelana..ini perjuangan kita demi memastikan Perak dicintai terus dimajukan di bawah BN,” katanya.