Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Tiada lagi “Sabah untuk Sabahan, dan Sarawak untuk Sarawakian,” merupakan bukti manifesto Barisan Nasional yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bersifat inklusif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata harapan utama perlaksanaan Aku Janji tidak lagi ekslusif tetapi lebih menumpukan pembangunan untuk manfaat kepada setiap negeri di Malaysia.

Katanya, antara perkara yang diutarakan adalah memperkasakan dan memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melibatkan dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak sebagai komponen utama.

“Mungkin ada beberapa tindakan terlepas pandang oleh beberapa pemimpin-pemimpin terdahulu terutama yang memimpin negara ini agak lama, tidak mengambil langsung perkiraan untuk memenuhi perjanjian MA 63 ini.

“Jelas, bahawa manifesto (kali ini) mengambil kira tentang MA63 dan kita harap, rakyat di Sabah Sarawak tidak lagi memainkan isu “Sabah for Sabahan, dan Sarawak for Sarawakian,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Walkabout Sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat di perkarangan Wisma UMNO Bagan Datuk, Parit 4, Sungai Sumun, di sini pada hari ini.

Dalam manifesto yang dibentangkan tersebut, Barisan Nasional turut berjanji untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak sepeti termaktub dalam MA63.

Selain itu, Najib turut berjanji hak penyeliaan kawalan elektrik dan gas akan dikembalikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, selain akan mulakan projek rintis penubuhan sekolah guna Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan di Sabah dan Sarawak.

“Kuasa seliaan gas selama ini di bawah kerajaan persekutuan dikembalika kepada kerajaan negeri (Sabah dan Sarawak), inilah permintaan rakyat di kedua negeri ini.

“Datuk Seri Najib telah mengambil perkiraan terhadap pengembalian kuasa ini, justeru ianya haruslah diterima dengan hati terbuka dan berlapang dada,”ujar Ahmad Zahid.

Menurutnya, rakyat harus bijak menilai sebaiknya mengenai perlaksanaan aku janji oleh BN yang memperlihatkan perancangan komprehensif untuk seluruh lapisan masyarakat di Malaysia untuk lima tahun akan datang.

“Dengan 300 inisiatif yang ditawarkan, kita amat berharap rakyat akan turut memberikan dokongan kerana sebelum ini terbukti dokongan telah memberikan kesinambungan pemerintahan di negara kita,”ujarnya lagi.