BAGAN SERAI: Pemuda UMNO akan memperkenalkan manifesto kecil khusus untuk kesejahteraan pembangunan kehidupan pengundi muda di Malaysia.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, manifesto itu bakal mengetengahkan beberapa perkara utama merangkumi pekerjaan, keusahawanan dan perumahan bagi golongan muda.
“Manifesto kecil ini akan siap dalam dua atau tiga minggu lagi, atau lebih awal dan akan dibentang kepada Perdana Menteri.

khairy_bagan_serai 2
“Walaupun sudah banyak kita buat untuk orang muda selama ini tetapi masih ada yang kita perlu lakukan dan usaha itu kena berterusan.

“Saya sedang memuktamadkan manifesto ini dan penekanan besar bagi orang muda dalam jangka masa lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Briged Gempur 2314 Pemuda BN Negeri Perak di Stadium Mini di sini, hari ini.

Ujar Khairy, Perak menjadi lokasi pertama bagi Briged Gempur khusus untuk menawan serta memenangi pemikiran pengundi muda bagi Pilihan Raya Umum ke-14.

“Tugas Pemuda bukan setakat tampal poster atau panjat pokok untuk pasang bendera…tapi lebih daripada itu.

“Kita beri tumpuan untuk memenangi pemikiran mereka (pengundi muda) menghadapi PRU nanti,” katanya.