KAMPUNG GAJAH: Barisan Nasional (BN) Pasir Salak menyediakan manifesto khas untuk pemuda tempatan dengan menggariskan lima akujanji yang mampu memberi kehidupan lebih selesa kepada golongan tersebut.

Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, akujanji pertama ialah untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Menurutnya, beliau akan memastikan sebahagian daripada tiga juta peluang pekerjaan yang dijanjikan di dalam Manifesto BN turut dinikmati pemuda di Pasir Salak.

“Kami buat manifesto khas ini kerana menyedari banyak kekurangan yang boleh diperbaiki dan sebagai tanda menghargai sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada BN.

“Kami juga mahu mereka dapat kehidupan lebih selesa di sini tanpa perlu berhijrah ke luar mencari pekerjaan dan kehidupan lebih baik,” katanya selpas melancarkan Briged Gempur 2314 Pemuda BN Pasir Salak di pekarangan Stesen Bas Kg Gajah, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Ibrahim Katop, Ketua Pemuda UMNO bahagian, Datuk Dr Faizal Tajuddin dan ketua-ketua bahagian parti komponen.

Kira-kira 3,000 peserta konvoi yang terdiri daripada Pemuda BN lberkonvoi sejauh empat kilometer dari Sg Ranggam ke pekan Kampung Gajah.

Tajuddin berkata, akujanji kedua ialah menyediakan lot-lot tapak rumah untuk mereka yang masih belum mempunyai rumah.

“Ada di antara mereka yang tinggal di tanah-tanah rezab sungai, JKR dan ada juga yang masih tinggal dengan ibu bapa, kita prihatin masalah mereka,” ujarnya.

Tiga lagi akujanji itu ialah memberi mereka peluang menyertai tanah rancangan pertanian berkelompok, mengambil bahagian di dalam projek agro-tourism di tebing Sungai Perak dan membina bangunan UMNO yang bakal dinamakan Wisma Warisan Anak Bangsa.

BERITA BERKENAAN : Zahid Tegur Pengusaha Inap Desa Kaut Keuntungan Melampau

1/2