IPOH: Pakatan Harapan (Pakatan) Perak disifatkan berada keadaan nazak dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini apabila ia sekali lagi memanipulasi isu kemiskinan di Perak sebagai modal politik dalam melancarkan manifesto parti itu malam tadi.

ADUN Kamunting, Datuk Mohd Zahir Abd Khalid berkata tindakan Pakatan memainkan laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam manifesto mereka membuktikan pembangkang tidak akan berhenti mencanang dan memperbesarkan isu ini sebagai bahan kempen PRU untuk menumbangkan BN.

Katanya, data dan angka kononnya Perak negeri termiskin bukan lagi suatu isu kerana KRI sendiri telah membuat kenyataan media mengakui laporan tersebut tidak tepat selain perkara itu dihujah serta diperjelaskan secara terperinci berulang kali di peringkat sidang Dewan Undangan Negeri.

“Apa yang mereka cuba sampaikan di sini sebenarnya?…sedangkan pelbagai fakta dengan keterangan, angka, kajian malah laporan lengkap telah kita bentangkan untuk menjawab tohmahan ini,” katanya ketika dihubungi.

Zahir diminta mengulas majlis pelancaran manifesto PRU-14 Pakatan Perak yang mana hadiran dan pengamal media dipersembahkan dengan montaj video mengenai data dan angka laporan KRI yang meletakkan Perak sebagai negeri termiskin.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebuah kajian yang dilakukan oleh bekas pensyarah ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Ahamed Kameel Mydin, mendapati kebanyakan warga Perak berpuashati dengan pembangunan ekonomi di negeri Perak.

Malah, Zahir menegaskan laporan itu menyatakan hanya sebilangan kecil sekitar 15% warga Perak yang tidak berpuas hati namun mengakui banyak usaha serta tindakan kerajaan negeri telah berjaya melonjatkan pembangunan ekonomi di negeri Perak.

“Menurut laporan itu, data ekonomi negeri Perak Jabatan Statistik merekodkan pendapatan purata bulanan isi rumah bagi tahun 2016 sebanyak RM5,065 sebulan dengan kadar pertumbuhan 8.6 peratus berbanding purata pendapatan 2014 iaitu sebanyak RM4,268 sebulan.

“Ini menunjukkan kadar pertumbuhan ekonomi Perak lebih tinggi kerana kadar yang dicatatkan negara adalah pada 6.2 peratus,” katanya.

Zahir juga menegaskan bahawa berdasarkan statistik kadar kemiskinan yang diperoleh pada 30 Ogos 2016 Perak sebenarnya mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih baik daripada Selangor dan Pulau Pinang.

“Menurut Jabatan Statistik 2016, kadar miskin tegar di Perak hanyalah sebanyak 0.58 peratus, dan angka ini jauh lebih rendah berbanding Pulau Pinang iaitu 1.31 peratus,”katanya lagi.

Justeru, Zahir menegaskan agar Pakatan berhenti mencanang laporan KRI untuk digunakan sebagai senjata politik menumbangkan BN di Perak.

“Kalau nak bincang mengenai kemiskinan, buat lah betul-betu. Takkanlah terdesak sangat, sampai dah jadi Pakatan Desperado?

“Cerita betul-betul apa yang mereka nak buat. Gunakan peluang politik yang ada pada ketika ini secara professional bukannya menipu. Belum mula lagi tempoh berkempen dah menabur fitnah dan menipu,” katanya lagi.