MANJUNG: “Janganlah memandai-mandai”…Demikian teguran Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terhadap salah satu manifesto yang diumumkan PAS Perak malam tadi.

Dr Zambry menyifatkan tindakan PAS yang ingin mengembalikan konsep asal penubuhan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sebagai IPT Islam di negeri ini sebagai satu tindakan yang dilakukan tanpa usul periksa.
Menteri Besar Perak itu berkata tindakan parti tersebut menunjukkan seolah-olah mereka tidak mempunyai pemahaman sebenar mengenai konsep IPT Islam yang dimaksudkan.

“Sebelum ini, USAS hanya berada pada tahap untuk peringkat Diploma sahaja dan kita telah naikkannya sebagai universiti bertaraf penuh, yang membawa falsafah universiti yang dimaksudkan. Kita boleh dengar (manifesto PAS) tetapi kalau sebut tentang perincian, mungkin tak masuk akal.

“Dan mereka (PAS) kena tahu dalam bidang hal ehwal Islam ini jangan memandai-mandai, saya tengok manifesto PAS…kerana Perak mempunyai Sultan dan hal ehwal Islam berada dibawah naungan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam dan istiadat melayu Perak.

“Jadi nak tukar USAS dan sebagainya mereka (PAS) kena tahu siapa Canselor university. Jangan memandai,”katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Dewan Amanjaya di Seri Manjung dan bersama-sama masyarakat dalam Kenduri Rakyat di sini,hari ini.

Beliau diminta mengulas Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) PAS Perak bersana Gagasan Sejahtera yang bertemakan Perak Sejahtera, Rakyat Bahagia yang menggariskan 39 aku janji termasuk mengembalikan konsep asal penubuhan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sebagai IPT Islam pada malam Sabtu.

Dr Zambry berkata setiap manifesto yang dinyatakan oleh BN adalah lebih praktikal dan rasional bagi perlaksanaan kepada rakyat jika dibandingkan dengan manifesto yang dikemukakan oleh PAS.
Beliau yang juga ADUN Pangkor itu berkata setiap manifesto yang dikeluarkan oleh pihak pembangkang adalah hak mereka masing-masing.

“Kalau kita tengok manifesto mereka itu sebenarnya semuanya adalah apa yang telah kita buat, mungkin ada dalam satu atau dua (manifesto) yang dia nak buat dan lain-lain juga, sebahagian besar kita lihat adalah apa yang kita telah buat,”ujarnya lagi.