IPOH – Manifesto Barisan Nasional (BN) Perak yang dijangka dilancarkan Sabtu ini tidak akan menjanjikan bulan dan bintang sebaliknya ia menawarkan satu janji yang praktikal dan realistik untuk ditunaikan.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, manifesto tersebut akan merangkumi pelbagai aspek dari segi dasar dan arah tuju masa depan negeri Perak.

“Kita akan menyediakan manifesto yang praktikal dan benar, bukan hanya sekadar bersifat menabur janji-janji untuk mendapatkan undi, kita bukan begitu.

“Sudah tentu juga manifesto yang bakal dilancarkan ini akan ada perkara-perkara baharu seperti polisi dan sebagainya demi kemajuaan negeri ini, sama-sama kita nantikan Sabtu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama lebih 1,000 kakitangan Jabatan Kesihatan Perak di sini pada Isnin.

Menteri Besar Perak itu juga mengulas antara aspek yang akan diberikan penekanan dalam manifesto itu adalah bidang kesihatan.

“Kita tidak nafikan aspek berkaitan kesihatan ini adalah merupakan salah satu teras yang ada, bidang ini memang diberi perhatian.

“Walaupun lazimnya bidang ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan namun ada beberapa pendekatan yang kita ambil untuk memasitkan kehidupan rakyat dari segi konsep kesihatan lebih menyeluruh akan dilaksanakan secara bersama-sama,” jelas beliau.

Manifesto BN Perak yang dijadual dilancarkan Rabu namun ia terpaksa ditunda berikutan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Perak pada hari terbabit.

BERITA BERKENAAN : Kajian Invoke Strategi Pembangkang Untuk Kaburi Mata Pengundi