IPOH 1 Feb. – Gugusan Manjoi memerlukan sebuah balai polis baharu ekoran premis sedia ada merupakan sebuah bangunan kediaman yang telah disewa sejak sekian lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Asmuni Awi berkata, pembinaan balai polis tersebut merupakan suatu keperluan yang mendesak, justeru pihaknya sedang mencari lokasi tapak sesuai.

Beliau berkata, sepanjang pengetahuannya, balai polis berkenaan telah berpindah dari setempat ke setempat dan premis sedia ada merupakan tapak yang ketiga.

“Selama ini penduduk Manjoi kalau hendak buat laporan polis, mereka kena pergi ke Jelapang atau pekan Ipoh atau ke Buntong kerana masalahnya tidak cukup kapasiti dan kakitangan. Kadang-kadang berlaku ‘black out’, jadi perkara ini mengganggu (operasi) sebab sekarang ini, semuanya menggunakan komputer.

“Balai sedia ada masih beroperasi tetapi amat tidak selesa, maklumlah rumah kediaman dijadikan balai polis, jadi banyak masalah. Di tengah-tengah Manjoi sahaja, dianggarkan terdapat 30,000 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau perkembangan pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi yang baharu di Kampung Manjoi di sini hari ini.

Pembinaan klinik berkenaan yang bermula tahun lalu, mengalami sedikit kelewatan disebabkan oleh masalah teknikal sewaktu proses pemasangan tetopi cerucuk.

Bagaimanapun, projek bernilai RM25 juta yang dibangunkan melalui sistem binaan berindustri (IBS) itu dijangka siap pada 2 Mac 2020. – UTUSAN ONLINE