KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kemakmuran dan kecemerlangan negara yang dicapai pada hari ini adalah kerana rakyat berbilang kaum mengutamakam perpaduan.

Justeru, Perdana Menteri berkata rakyat perlu terus mengekalkan keadaan itu ketika sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut esok.

Beliau berkata rakyat perlu semaikan pembaharuan semangat dan azam antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Kita semua saling melengkapi antara satu sama lain dan sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, bersamalah kita tekad untuk kehidupan yang lebih baik.

“Berteraskan semangat Negaraku dalam jiwa, marilah kita saling berganding bahu terutamanya dalam membantu mereka yang lebih memerlukan,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Dalam entri berbeza, beliau juga menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati memandu dan patuhi undang-undang lalu lintas ketika pulang ke kampung untuk menyambut perayaan.

“Semoga dapat luangkan masa berkualiti bersama keluarga dan yang tersayang. Selamat bercuti,” katanya – berita harian