IPOH: Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MAPEM) Perak akan diaktifkan semula bagi memperjuangkan kebajikan usahawan Melayu di negeri ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, majlis itu akan mengadakan bertemuan berkala untuk membincangkan isu-isu usahawan di negeri ini.

Menurut beliau, antara NGO yang akan terlibat ialah Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Cawangan Perak dan Persatuan Kontraktor Elektrikal Melayu Perak (PKEMP).

“Kita juga mengalu-alukan penglibatan lebih banyak NGO supaya kita dapat duduk dan berbincang bersama-sama pelbagai isu untuk kepentingan bersama-sama, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran sekarang,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa PKEMP di pejabat DPPM Perak di sini pada Khamis.

Kunjungan hormat itu diketuai sendiri Yang Dipertua PKEMP, Mohd Zabidi Razali.

MAPEM Perak telah diwujudkan pada 2011 dengan penyertaan lebih 20 NGO yang mewakili pelbagai bidang keusahawanan seperti kontraktor, pasar tani, peniaga pasar tani dan pasar malam, penjaja kecil dan koperasi.

Bagaimanapun, aktiviti majlis akhirnya terhenti ekoran pembubaran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak yang menjadi sekretariat MAPEN Perak ketika itu.

Muhiyuddin berkata, DPPM Perak akan mengambil-alih sebagai sekretariat MAaPEM Perak bagi meneruskan perjuangan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan usahawan Melayu di negeri ini.

Menurut beliau, antara aktiviti yang akan dilaksanakan ialah mengadakan kunjungan hormat ke atas pemimpin di samping mengatur pertemuan dengan ketua-ketua jabatan dan agensi.

Sementara itu, Mohd Zabidi berkata, pihaknya bersedia berganding bahu dengan DPPM Perak dan NGO lain untuk bersama-sama memperjuangkan kebajikan usahawan Melayu di negeri ini.

“Selama ini, kami ahli-ahli persatuan elektrikal bergerak di dalam kepompong sendiri, selepas ini kami mahu keluar dan bersama-sama dengan Dewan dan pertubuhan-pertubuhan lain,” ujarnya.