IPOH: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak kerajaan Malaysia menggunakan platform sebagai anggota Majlis Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyuarakan usul supaya tentera pengaman di hantar segera ke Myanmar bagi menghentikan operasi penghapusan bangsa etnik Rohingya di negara berkenaan.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkara yang perlu diberi tumpuan ialah soal bagaimana hendak menghentikan pembunuhan ke atas bangsa etnik Rohingya oleh pasukan keselamatan Myanmar yang sudah berlarutan dua bulan dan masih belum reda ke hari ini.

Menurut beliau, berhubung perkara ini MAPIM sedang bekerjasama dengan pelbagai NGO iaitu Islamic Human Right yang berpengkalan di London untuk memberi tekanan terhadap Myanmar melalui kerajaan dan juga kumpulan-kumpulan negara seperti ASEAN, OIC dan Bangsa Bersatu (UN).

“Di peringkat United Nation kita mendesak supaya kerajaan Malaysia menggunakan platform untuk segera menyuarakan usul seperti yang kami cadangkan supaya tentera pengaman dihantar segera ke Myanmar.

“Kita juga meminta supaya kerajaan sama ada Malaysia atau Indonesia sebagai negara yang tidak berpengaruh dalam OIC memanggil suatu pertemuan atau sidang tergempar dan membuat keputusan apa yang harus kita lakukan ke atas Myanmar,” katanya.
Mohd Azmi yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Solidariti Rohingya dan Kepedulian Ummah yang berlangsung di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh pada Jumaat.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Yusop Husin dan Timbalan Mufti Perak, Zambri Hashim.

Kira-kira 1,000 jemaah hadir di majlis itu termasuk 300 rakyat Myanmar bangsa etnik Rohingya.

 

 
Pada majlis itu, Tabung Bantuan Rohingya Peringkat Negeri Perak telah dilancarkan oleh Datuk Yusop Husin yang mengumumkan sumbangan orang ramai sebanyak RM7,712 berjaya dikutip pada hari ini untuk tabung berkenaan.

Majlis Solidari anjuran JAIPK bertukar suasana sedih dan pilu apabila rakaman video pembakaran rumah penduduk dan pembunuhan bangsa etnik rohingya oleh pasukan keselamaan ditayangkan untuk tontonan jemaaah.

Beberapa orang bangsa etnik rohingya yang ditemui di majlis itu merayu kerajaan Malaysia dan negara-negara Islam lain campurtangan segera bagi menghentikan kekejaman dan kezaliman ke atas bangsa mereka.

Yahaya Hussain, 22, yang berasal dari perkampungan Arkan Mondo, Myanmar dan bekerja sebagai buruh di pasar borong Ipoh, menzahirkan rasa sedihnya kerana sudah terputus hubungan sejak dua bulan lalu dengan ibu bapanya serta lima adiknya akibat tindakan kejam pasukan keselamatan Myanmar.

“Saya sedih kerana terputus hubungan dengan keluarga saya di kampung sejak dua bulan lalu dan saya amat bimbang sama ada mereka masih hidup atau tidak kerana tindakan zalim tentera Myanmar ini.

“Saya merayu dan meminta Malaysia dan negara-negara Islam campur tangan bagi menghentikan kekejaman yang dilakukan tentera Myanmar terhadap bangsa kami,” katanya.