IPOH – Peluang untuk melawat dan menikmati pengalaman di taman tema Movie Animation Park Studios tidak disia-siakan oleh para pelajar dewasa dan tenaga pengajar dari Sekolah Semangat Maju sempena cuti sekolah yang bermula 17 Mac.

Pengetua, Annie Margaret berkata seramai 15 orang pelajar dari kategori masalah pembelajaran diberi peluang untuk turut serta dalam majlis tajaan MAPS, hari ini.

“Kami sangat berbesar hati menjadi antara tetamu yang dipilih untuk menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MAPS kali ini.

“Ia memberi peluang kepada pelajar kami untuk bersosial dan meningkatkan kesedaran orang awam terhadap orang kelainan upaya.

“Jelas mereka sangat gembira berada di sini dan saya melihat ini sebagai peluang untuk mendidik mereka agar berkelakuan baik apabila berada di khalayak ramai,” ujar beliau.

Sekolah tersebut merupakan antara 12 rumah penjagaan, sekolah, tadika di sekitar negeri Perak dan Wad Kanak-Kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun yang dijemput untuk menyertai program anjuran MAPS yang diadakan pada setiap kali perayaan dan cuti sekolah.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MAPS, Mohd Farid Abdul Aziz, program tanggungjawab sosial korporat ini merupakan sesuatu yang sinonim dengan MAPS sejak pembukaannya pada Jun 2017 dengan menjemput kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk turut bergembira di taman tema ini.

“Untuk kali ini, MAPS menjemput 500 orang kanak-kanak daripada 12 sekolah dan rumah anak yatim bersama guru dan pengiring termasuk pesakit-pesakit dari Wad Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk meraikan musim cuti sekolah di MAPS.

“Sebagai sebuah syarikat di bawah kerajaan negeri, di bawah tanggungjawab sosial kita memang berusaha dan membantu untuk berkongsi kegembiraan degan golongan yang kurang bernasib baik,” ujar beliau yang ditemui ketika sidang media di sini.

Bertemakan Percutian Berwarna Warni (‘Your Colourful Holidays’), acara ini diadakan untuk meraikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan istimewa yang bertungkus-lumus di sekolah.

Antara institusi lain yang terlibat ialah Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim & Miskin Nurul Iman (Manjoi), Asrama Anak-Anak Yatim Nurul Ihsan (Sungai Siput), Little Caliphs Permata Ilham, Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Pertubuhan Anak-Anak Yatim Darussalam, Vision Home, Asrama Darussalam Kampung Melayu Medan Gopeng, Children EduFun Learning, Tadika Smart IQ, Taska Khaleefah Cilik serta dan Wad Kanak-Kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Istimewa sempena cuti sekolah penggal pertama ini, MAPS juga menawarkan harga RM35 untuk tiket masuk pada sebelah petang dengan memfokuskan kepada pertunjukan lagak ngeri dan pertunjukan api.

“Pertunjukan lagak ngeri dan api ini akan menjadi lebih menarik kerana ia pertama kali ditawarkan pada waktu petang dan malam dengan penggunaan teknik ‘pyro’ dan percikan bunga api yang memukau.

“Persembahan yang diadakan bermula dari 17 Mac sehingga 25 Mac ini dimulakan pada pukul 5 petang sehingga 10 malam untuk seminggu,” tambah Farid.

Selain daripada itu, MAPS juga menawarkan promosi ekslusif sempena cuti sekolah ini dengan pilihan tiga pakej iaitu RM90 untuk dewasa atau RM80 untuk kanak-kanak setiap seorang termasuk baucar RM30, pakej tiket sahaja yang bernilai RM70 (dewasa) dan RM60 (kanak-kanak) setiap seorang dan pas 2 hari berharga RM120 untuk seorang dewasa dan RM110 seorang kanak-kanak yang turut meliputi baucar sebanyak RM30.

Taman tema yang membawa watak kartun Boboiboy ini juga akan mengadakan sambutan hari jadi untuk watak kegemaran ramai itu pada 24 Mac dengan acara memotong kek dan memperkenalkan evolusi Boboiboy yang menjadi Boboiboy Galaksi.

Untuk tempahan dan pembelian tiket, pengunjung boleh melawat www.mapsperak.com.