IPOH: Kerajaan negeri menyasarkan kunjungan pelancong dari Lembah Klang dan Pulau Pinang ke taman tema Movie Animations Park Studio (MAPS) dengan membuka pejabat dan kaunter jualan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, sejumlah 51,773 orang telah mengunjungi MAPS setakat 7 Ogos 2017.

“Pembukaan kaunter jualan itu termasuklah di Lembah Klang dan Pulau Pinang seperti KLCC, Pavilion, 1Utama, Queensbay Mall, Gurney Plaza dan Gurney Paragon.

“Kita turut menambah baik portal jualan dengan kerjasama Google di Singapura serta syarikat penerbangan yang bercadang untuk mengadakan penerbangan terus ke Ipoh melalui KLIA, Pulau Pinang dan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin (BN-Manjoi) di persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, hari ini.

Mohammad Zahir juga menjelaskan, MAPS akan diperkenalkan sebagai destinasi MICE (meeting, incentives conferences and exhibitions).

Dengan adanya pelan strategik itu, jelasnya, MAPS mampu berperanan sebagai pemangkin untuk melonjakkan populariti Perak sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan rantau Asia.