Pengkalan Hulu : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas lebih 200 kilogram sosej tanpa permit sah di Kompleks Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu semasa menjalankan operasi di laluan awam, semalam.

Pengarah MAQIS Perak, Rozita Superman berkata, kesemua sosej itu dibawa masuk dari Thailand oleh satu pasangan suami isteri dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang mereka naiki membawa barangan itu.

“Menurut mereka sosej ini untuk dijual di pasaran tempatan.

“Barangan terbabit iaitu sosej ayam, sosej lembu, dan pelbagai produk lain dengan anggaran bernilai RM2,500 dirampas daripada satu kenderaan pacuan empat roda di laluan awam sebaik memasuki negara ini.

“Kesemua barangan tersebut telah dirampas kerana tidak memiliki dokumen import yang sah seperti permit import dan sijil kesihatan.

Rozita menambah, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah daripadaJabatan MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta sama.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Katanya, MAQIS amat memandang serius masalah ini dan tindakan penguatkuasaan di pintu masuk negara akan terus diperketat bagi memastikan penyakit haiwan, ikan dan tumbuhan terkawal serta menjamin keselamatan makanan kepada rakyat.

“Ini juga adalah bagi menjamin keselamatan produk pertanian yang masuk kenegara ini mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.