SERI ISKANDAR – Kerajaan terus komited dalam usaha membantu dan menjadi pemudahcara dengan menawarkan pelbagai skim pembiayaan kewangan kepada rakyat untuk terus maju.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) telah bekerjasama dengan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) untuk menganjurkan program 1MPAK khusus untuk rakyat di sekitar Parlimen Parit melalui edisi kelima di negeri ini hari ini.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Zaim Abu Hasan berkata program tersebut adalah kesinambungan dari pelbagai usaha MARA dalam memperkasa agenda Bumiputera dengan pendekatan baharu dan dinamik di mana MARA memilih untuk turun padang dan berinteraksi terus dengan masyarakat terutamanya yang berada di luar bandar sekaligus menawarkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan pengalaman dan kelulusan para pemohon.

“Di daerah ini sahaja, jumlah pembiayaan yang diagihkan pada 2017 menjangkau lebih RM2.2 juta yang telah diluluskan untuk 22 usahawan tempatan melalui program-program seperti Skim DanaNita, Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE) dan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM).

“Bagi tahun ini pula, jumlah pembiayaan telah pun mencapai RM635,000 yang diluluskan kepada tiga usahawan tempatan daerah ini melalui SPiKE iaitu Wira Baru Sdn Bhd, Musarudin Saleh dan SB Construction & Services,” ujar beliau semasa merasmikan program 1MPAK di Dataran Hadapan D’Mall Billion Seri ISkandar, di sini.

Malah, Zaim berkata pemilihan parlimen Parit sebagai lokasi penganjuran 1MPAK kali ini sangat bersesuaian berikutan ia dikategorikan sebagai kawasan luar bandar.

Kehadiran MARA juga dapat meningkatkan semangat usahawan tempatan dan menggalakkan perniagaan sedia ada untuk terus berkembang.

“Selain kemudahan bantuan kewangan, MARA juga menawarkan sewaan premis kepada usahawan tempatan bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Pada masa ini, terdapat lima premis sewaan MARA di sekitar Parit dan Bota iaitu Rumah Kedai MARA Parit, Rumah Kedai MARA Seri ISkandar, Pedestrian Mall Seri Iskandar, Arked MARA Kampung Gajah dan di Bengkel Industri MARA Kampung Gajah,” tambah beliau.

Kemudahan premis perniagaan tersebut mampu menyediakan tapak permulaan dalam menjalankan perniagaan mereka dengan kadar yang jauh lebih rendah berbanding dengan harga pasaran.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan menerima sekurang-kurangnya seramai 5,000 pengunjung di setiap lokasi.

“Program 1MPAK ini telah diadakan di 22 lokasi sebelum ini dan di Parlimen Parit ini merupakan lokasi yang ke-23.

“Antara pengisian yang ditawarkan kepada para pengunjung ialah program keusahawanan, pendidikan dan tanggungjawab sosial korporat dari MARA,” kata beliau yang ditemui semasa sidang akhbar.

Menariknya, MARA turut memperkenalkan program Graduate Employability Training Scheme (GETS) yang memberi latihan asas dan permulaan kepada para peserta dengan syarikat daripada industri tertentu mengikut minat masing-masing.

“GETS akan membuat padanan antara minat dan kemahiran pemohon dengan keperluan semasa industri,” tambah beliau.

Sejak bermulanya program 1MPAK pada Januari yang lalu, GETS telah menerima lebih daripada 25,000 permohonan di seluruh negara.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria, ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim, Pegawai Daerah Perak Tengah Mohamad Ghopran Yeop Hamzah dan Pengarah MARA Negeri Perak Yahaya Sani.