LENGGONG: Seorang pekebun di Kampung Ulu Jepai, Gelok hilang kelima-lima jari kanannya akibat hancur setelah mercun yang dinyalakan meletup di tangan sebelum dia sempat melemparkannya ke arah gajah liar yang menceroboh dan memusnahkan tanamannya.

 Azmi Sharif, 56, yang merupakan kakitangan Majlis Daerah Lenggong bertindak mengambil mercun bola dalam simpanannya setelah menyedari kehadiran gajah liar berhampiran rumahnya pada 6.30 pagi Khamis.

 “Pagi tadi, saya diberitahu Azmi terdengar kehadiran gajah berhampiran rumahnya dan beliau terus bertindak mengambil mercun dengan tujuan untuk menghalau serta menakutkan haiwan liar itu.

 “Malangnya, hasratnya bertukar tragedi apabila mercun yang dinyalakannya di tangannya tiba-tiba meletup sebelum dia sempat lemparkan ke arah gajah liar.

 “Azmi langsung tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya.

 Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.

 Tambahnya, seekor gajah dikesan sering merosakkan tanaman penduduk kampung semenjak setahun lepas sehingga berkeliaran di kawasan berhampiran rumah penduduk.

 Menurutnya, laporan telah dibuat malah anggota Perhilitan pernah datang melaksanakan pemantauan tetapi haiwan itu tetap berani masuk sehingga menyebabkan penduduk bertindak menghalaunya sendiri dengan pelbagai cara termasuk menggunakan mercun bola.

 “Pagi tadi pun selepas kejadian itu, seramai enam anggota Perhilitan Gerik datang memantau dan mencari gajah berkenaan tetapi tidak menjumpainya kerana dipercayai sudah masuk bersembunyi di dalam hutan tebal di situ.

 “Penduduk sudah banyak menanggung kerugian kerana pelbagai tanaman seperti pisang, kelapa, durian, cempedak selain tanaman kontan lain angkara gajah berkenaan.

 Kamaruddin berharap, agar pihak Perhilitan dapat menangkap gajah berkenaan dengan segera sebelum memindahkannya ke habitat lain seperti di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) demi keselamatan penduduk kampung di Lenggong.